Monday, November 30, 2009

Miss Borneo Beautiful 2009 akan diketahui malam ini

Monday, November 30th, 2009

KUCHING: Miss Borneo Beautiful 2009 akan diketahui malam ini dengan 18 finalis bersaing merebut gelaran ratu cantik bagi pertandingan yang dianjurkan buat julung kalinya itu.Malam final bakal diadakan di Hotel Riverside Majestic, Kuching. Seramai 140 gadis telah mencuba nasib tetapi hanya 87 dipiih ke pusaingan pertama, jumlah itu menjadi 30 orang bagi pusingan separuh akhir dan seterusnya 18 layak ke peringkat final.

Malam Sabtu lepas, pertandingan bermula dengan salah satu gelaran dipertandingkan iaitu ‘Miss Talent’.

Manakala tujuh daripada 18 finalis bersaing merebut gelaran itu di Rajang Lobby Lounge, Hotel Grand Margherita dan mereka diminta menunjukkan bakat dalam nyanyian untuk menjadi ‘Miss Talent’.

Annabella Wee peserta pertama menunjukkan bakatnya dengan menyanyikan lagu Krismas klasik ‘Last Christmas’ nyanyian penyanyi asal George Michael, diikuti persembahan duet di antara Rajinder Kaur dan Donavie Juvinia yang menyanyikan lagu ‘Aku Cinta Padamu.

Giliran Livonia Ricky menguasai pentas dengan mendendangkan lagu ‘This is me’ diikuti persembahan duet daripada Pamela Pang dan Claudia Nera dengan nyanyian bertajuk ‘Pudar’.

Persembahan terakhir daripada Juliedawati Junaidi yang menyanyikan lagu Sheila Majid, ‘Tiru Macam Saya’.

Bagaimanapun pemenang bagi gelaran ‘Miss Talent’ hanya akan diumumkan pada malam final.

Penganjur pertandingan Alaric Soh berkata, keyakinan yang ditunjukkan para peserta pada malam ini adalah hasil kerja keras mereka sejak dua minggu lepas.

“Pada mulanya rata-rata mereka malu dan tidak yakin membuat perucapan awam.

“Sekarang mereka mampu membuat persembahan yang memukau dan menjadi wanita muda bersuara lantang.

“Kerja keras mereka sepanjang dua minggu, disiplin dan komitmen ternyata berbaloi,” katanya.

Soh menambah, sebaik pertandingan ratu cantik itu berakhir, mereka (para peserta) mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memilih kerjaya diminati.

Katanya, syarikatnya sentiasa membantu serta memberi nasihat kepada mereka pada masa akan datang.

“Pertandingan ini bertujuan memberi pendedahan dan membuka peluang kepada wanita-wanita muda.

“Kita hanya boleh mengajar mereka ‘bagaimana hendak memancing’, langkah seterusnya terpulang kepada usaha individu,” ujar Soh.

Juara ‘Miss Borneo Beautiful 2009’ bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 diikuti RM2,000 bagi naib juara, RM1,000 bagi pemenang tempat ketiga manakala pemenang di tangga keempat memenangi hadiah wang tunai RM800 dan RM500 bagi pemenang di tempat kelima.

Bagi gelaran-gelaran tertentu seperti ‘Miss Friendship’, ‘Miss Photogenic’, ‘Miss Goodwill’, ‘Miss Personality’ dan’Miss Talent’ juaranya akan memenangi hadiah wang tunai RM500 masing-masing.

Finalis yang gagal memenangi sebarang gelaran atau hadiah wang tunai tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana akan memenangi hadiah sagu hati berupa wang tunai RM200.

Tiket menyaksikan malam kemuncak Miss Borneo Beautiful 2009 boleh didapati pada harga RM3,000, RM2,000 dan RM1,500 semeja bagi 10 orang.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Alaric’s Production Company di 014 680 0000 (Alaric) atau melayari www.misssarawak. com.

Penaja-penaja bagi pertandingan ratu cantik ini ialah Hotel Riverside Majestic, Utusan Borneo, The Borneo Post, UCSI Kampus Sarawak, Lea Group, Tiger Beer, Lady Jenn, Inspiration Alan Salon, Diamond Press, Les Paul dan Phil Art Photography.

No comments: